Perbandingan Gerakan Retorik Abstrak Makalah Berbahasa Melayu Terbitan Jurnal Berimpak Tinggi dan Tidak Berimpak

  • Khairul Firhan Yusob UiTM PAHANG
  • Asyura Abd Nassir Universiti Teknologi MARA Pahang
Keywords: abstrak, analisis genre, gerakan retorik, jurnal Melayu, makalah

Abstract

Abstrak merupakan salah satu komponen wajib bagi sesebuah makalah. Penulisan abstrak yang baik mampu menarik perhatian pembaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang sesebuah makalah. Selain itu, penulisan abstrak turut menarik perhatian pengkaji wacana untuk mengetahui struktur gerakan retoriknya. Sehingga kini, terdapat banyak kajian yang memfokuskan gerakan retorik abstrak makalah yang berbahasa Inggeris. Hal ini bermakna kurang pendedahan diberikan kepada abstrak dalam Bahasa Melayu. Justeru, tujuan utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti struktur gerakan retorik abstrak berbahasa Melayu yang diterbitkan di dalam jurnal sama ada yang berimpak tinggi atau tidak berimpak. Untuk itu, 60 abstrak diekstrak daripada dua buah jurnal tempatan. Selanjutnya, semua abstrak dianalisis menggunakan perisian Atlas.ti 23. Selain itu, kajian ini memanfaatkan kerangka analisis gerakan untuk abstrak. Kerangka ini dihasilkan daripada teori
analisis genre. Struktur kerangka analisis tersebut bermula dengan Gerakan (Move) 1 atau G1: Pengenalan (Introduction), G2: Tujuan (Purpose), G3: Metodologi (Method), G4: Dapatan Kajian (Production atau Results), dan G5: Kesimpulan (Conclusion). Dapatan kajian menunjukkan pematuhan terhadap kerangka sedia ada yang tinggi dalam abstrak makalah terbitan jurnal berimpak tinggi manakala makalah terbitan jurnal tidak berimpak mempunyai abstrak yang lebih variasi dan tidak terikat dengan sejenis struktur sahaja. Kajian ini mampu membantu pengkaji dan penulis makalah berbahasa Melayu khususnya memahami struktur gerakan retorik sesebuah abstrak bagi tujuan penerbitan. Ia juga mampu dijadikan sebagai pendedahan bagi penulis baharu dalam bidang akademik.

Author Biography

Asyura Abd Nassir, Universiti Teknologi MARA Pahang

Pengajian Sains Matematik
Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (PPIM)

Published
2024-03-15