KEPENTINGAN LATAIF QURANIYYAH DALAM PEMBANGUNAN JATI DIRI DAN ADAB DI ERA ENDEMIK COVID-19

  • Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor
  • Nurul Adillah Mohammad Tormizi Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor
Keywords: lataif quraniyyah, tadabbur al-Quran, pendidikan pasca Covid-19, pembangunan jati diri

Abstract

Pandemik Covid-19 telah mengubah landskap pendidikan di seluruh dunia iaitu pembelajaran jarak jauh menggunakan teknologi digital tanpa kehadiran fizikal. Pastinya norma baharu ini memberi kesan pada aspek nilai-nilai kemanusiaan apabila segala urusan pembelajaran digantikan dengan pelbagai peranti. Sebagai Muslim yang meyakini sumber agama, al-Quran kekal relevan menghidangkan penyelesaian manusia sejak berzaman. Kemunculan wacana Lataif Quraniyyah sebagai konsep baharu dalam tadabbur al-Quran yang menyentuh aspek nilai-nilai kemanusiaan dan kerohanian dilihat membantu manusia menghadapi cabaran ini. Artikel ini bertujuan mendedahkan konsep Lataif Quraniyyah yang mencungkil rahsia-rahsia disebalik ayat al-Quran sehingga mendorong manusia melihat dengan pandangan hati bahawa semua yang berlaku dibawah pentadbiran Allah Ar-Rahman. Impaknya, manusia akan memakai 'pakaian' redha dan baik sangka dengan Allah sehingga terpantul sifat ithar dan menyantuni dengan penuh adab sesama manusia meskipun hanya dihubungkan dengan teknologi digital.

Published
2022-07-06