NILAI-NILAI MURNI DALAM PENGAJARAN KURSUS MATAPELAJARAN PENGAJIAN UMUM (MPU) DI UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UITM)

SATU TINJAUAN

  • Noor Syahida Md Soh Pusat Asasi, Universiti Teknologi MARA Selangor
  • Mahfuzah Mohammed Zabidi Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA Johor
  • Huzaimah Ismail Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA Selangor
Keywords: nilai murni, kursus MPU, pendidikan 5.0

Abstract

Sesuai dengan sistem pendidikan negara yang telah berubah mengikut peredaran masa dan kemajuan teknologi, pengenalan terhadap Pendidikan 5.0 bagi seluruh sistem UiTM mula mengambil tempat dalam memacu pendidikan berkualiti di UiTM. Pendidikan 5.0 yang diperkenalkan di UiTM merangkumi unsur Pendidikan 4.0 dengan memberikan penekanan terhadap nilai-nilai dan pemikiran masa hadapan yang progresif dalam diri pendidik dan pelajar. Dalam konteks Pendidikan 5.0, penerapan nilai murni dan prinsip-prinsip di dalam ekosistem pengajaran dan pembelajaran adalah sangat penting. Namun, kajian-kajian yang lepas mengenai penerapan nilai murni melalui pengajaran lebih tertumpu kepada guru-guru di sekolah berbanding pendidik di institusi pengajian tinggi. Merujuk kepada kepentingan penawaran subjek-subjek di bawah kursus MPU yang bermatlamat untuk menerapkan nilai murni serta membina jatidiri pelajar, kajian ini akan membincangkan tentang apakah nilai-nilai murni yang telah diamalkan dalam pengajaran kursus MPU. Dapatan bagi objektif kajian ini diperolehi melalui sesi temubual tandom semi struktur yang telah dijalankan bersama dua orang informan pensyarah. Dapatan yang diperolehi telah dianalisis menggunakan kaedah analisis tematik secara abduktif dengan memasukkan kod-kod nilai murni yang dikeluarkan daripada Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta menjalankan pengekodan terbuka. Kod-kod nilai murni yang dianalisis telah dikategorikan kepada matlamat utama Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Kategori-kategori ini pada akhirnya telah ditemakan secara induktif kepada nilai murni berbentuk afektif, nilai murni berbentuk kognitif, dan nilai murni berbentuk psikomotor.

Published
2022-07-06